Google+ Followers

Rabu, 9 Januari 2013

Audit Bahasa..Syabas Prof Awang dan DBP..


Aktiviti pengauditan Bahasa Melayu (BM) yang dipelopori oleh Prof merupakan satu usaha dalam penambahbaikkan mutu BM khas di sektor kerajaan. Tahniah Prof.  Wajar juga pada pendapat saya untuk diperluaskan ke sektor swasta dan GLC yang bertindak sebagai enjin ekonomi bagi kerajaan dalam memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi serta seterusnya menjadi kelompok negara maju.  


BM dalam sektor swasta dan GLC amat-amat menyedihkan.  Bahasa penjajah khasnya bahasa inggeris digunakan secara keterlaluan sehingga menampakkan BM seolah-olah langsung tiada nilai ekonomi dan komersil.  BM dinodakan dengan perlakuan sebahagian besar golongan professional dan pekerja yang rata-ratanya mendapat pendidikan kebangsaan. 

Petronas 

Sebagai contoh saya sekadar mengambil satu syarikat iaitu PETRONAS sebagai entit   syarikat berkait kerajaan (GLC).  Saya pernah bekerja sebagai kontraktor di PETRONAS hampir 5 tahun.  Satu kebanggaan buat saya kerana dapat mencari pengalaman dalam bidang saya iaitu keselamatan, kesihatan dan persekitaran (HSE) di loji-loji minyak dan gas sama ada di darat (onshore) mahupun laut (offshore) milik konglemerat nasional ini.  Cuma satu rasa kesedihan dan kekecewaan adalah nilai BM yang diamalkan di PETRONAS.  Biarpun ia dikendalikan oleh bangsa kita, Melayu dan majority pekerjanya adalah orang Melayu dan rakyat Malaysia, namun penggunaan BM amatlah mengecewakan.  

Bermula dengan motonya dalam bahasa penjajah (reimagining energy) yang kononnya untuk menonjol imej korporat dan keantarabangsaan , laman sesawangnya yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, mesyuarat (biarpun dihadiri oleh orang melayu atau mereka yang memahami BM) yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa penjajah atau bahasa sekerat ular sekerat belut, minit mesyuarat dan memo yang sepenuhnya dalam bahasa penjajah, apa jua borang yang berkaitan dengan urusan kerja PETRONAS, tender, laporan tahunan dan apa jua bentuk pemberitahuan atau penyiaran hampir semua menggunakan medium bahasa penjajah semata-mata..

Jadi saya terfikir di mana nilai BMnya? Cukupkah sekadar memperlihatkan wajah kemelayuan atau ketimuran tetapi berlidah atau berminda barat sepenuhnya.  Semata – mata untuk menunjukkan bahawa konglemerat kita adalah sebahagian dari warga global tajaan Amerika dan Barat, sanggup kita meminggirkan penggunaan BM dalam syarikat yang bertaraf multinasional ini.  Sikap yang sebahagian besar warga PETRONAS yang bermula dari pengurusan tertinggi sehingga ke golongan pelaksana (eksekutif) yang bertaraf Melayu professional tidak menggambarkan mereka sebagai professional Melayu. Melayu professional adalah mereka yang berfikiran bahawa mereka ini kononnya maju tetapi hampir tercabut nilai kejatidirian mereka khasnya dalam mempertahankan nilai BM dan kebudayaan melayu, berbanding pula professional Melayu yang begitu kental semangat kemelayuan dan keislaman mereka biarpun mereka bukan dari golongan Melayu professional. 

Jika dibuatlah pengauditan BM di PETRONAS pasti penarafannya adalah sangat menyedihkan.  Pengalaman saya rata-rata mereka begitu fasih berbahasa penjajah (sesuatu yang dibanggakan) namun dari segi BM mereka amatlah menyedihkan, lagi-lagi yang bercakap itu adalah bangsa kita sendiri.  Disebabkan persekitaran kerja yang menggunakan sepenuhnya bahasa penjajah, sedikit demi sedikit BM hilang dari memori fikiran dan penulisan mereka.  Budaya korporat yang diterapkan dalan persekitaran PETRONAS menjadikan BM itu sendiri hilang daya saingnya.  BM hanya digunakan dalam komunikasi tidak formal sahaja.  Dalam situasi formal baik mesyuarat, laporan dan penulisan hanya satu bahasa sahaja terpakai.  Saya lihat tiada usaha dilakukan dalam memberi nilai pengupayaan dan pemerkasaan BM dalam budaya kerja PETRONAS.  

Mungkin saya bias atau terlalu kritik atau tidak adil dalam hal yang melibatkan BM di PETRONAS.  Tetapi itulah realitinya yang berlaku di konglemerat atau syarikat yang bertaraf multinasional di negara kita.  Ia diterajui sendiri oleh bangsa kita, namun bangsa kita sendiri yang meletakkan taraf BM ditahap yang hina sekali.  BM tidak diberi peluang untuk diikutsertakan sekali dalam kemajuan industri petrokimia negara negara kita.  Biarpun PETRONAS telah menjana keuntungan ratusan billion ringgit sejak mula beroperasi pada 1974, namun nilai BM tidak pernah berubah, malah terus diperosok jauh ke dalam dan ke bawah.. 

GLC 

Mudah-mudahan audit yang dilakukan dapat menunjukkan nilai sebenar BM di PETRONAS atau mana-mana GLC.  Letakkan KPI atau penanda aras BM dan diberitakan kepada umum.  Biar semua orang tahu nilai sebenar bahasa kebangsaan kita.  Kenapa perlu hendak malu, kerana itu memang realitinya.  Kita hanya meletakkan keuntungan setiap ringgit sebagai aras kemajuan, tetapi tidak pernah mempedulikan nilai  kemusnahan bahasa kebangsaan kita akibat kerakusan mengejar kemajuan….kenapa saya hanya memperkatakan PETRONAS secara langsung.  Kerana PETRONAS satu-satunya GLC milik Malaysia yang berjaya menempatkan dalam Forbes 500.  500 syarikat terbaik di dunia.  Jika BM dapat didaulatkan dalam PETRONAS bermakna maruah dan imej BM dalam bidang teknologi dan ekonomi dapat diberi pencerahan dan In Shaa Allah akan diikuti oleh GLC dan syarikat swasta lain.  

Kita hanya mahukan hak BM diberi keadilan dan diletakkan ditempat yang sewajarnya dalam semua syarikat ini.  Kalau tidak sampai bila-bila pun BM tetap dihina, diperlekeh, menjadi bahasa kelas kedua atau ketiga oleh warganya sendiri.  Jika warganya sendiri memperlekehkan bahasanya sendiri bagaimananya kita mengharapkan orang luar untuk menghormati bahasa kita. 

Teruskan usaha Prof dan DBP…moga dalam tahun baru ia memberi sinar kepada BM yang kian sirna di dalam hampir semua sektor swasta baik atas nama bumiputra apatah bukan bumiputra.           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan